Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri
kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa
dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan
untuk bertaubat kepada Allah s. w. t. Dia berkata, "Sepanjang aku
menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara
ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat
insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat."
" Golongan yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya
menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu
malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa
terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu. " Wahai anak muda,
mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu
hidupnya. Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan
wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada
golongan muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.
Sambung pemuda itu lagi, " Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka
sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala
malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka
telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan
guru?" Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai anak muda, mereka itulah
golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya.
Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika
sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,"
Pemuda itu menyambung lagi, " Wahai tuan guru, golongan yang ketiga
yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa
sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat
perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak
daripada perutnya itu." " Mereka itulah golongan yang gemar memakan
harta yang haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.
" Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu
bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?"
Jawab ahli ibadah itu, " Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang
derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah
s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu
bapanya."
" Golongan kelima, ku lihat ada pula mayat yang
kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar
segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu. " Anak muda,
mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa
hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa
lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah bersabda,
bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah
termasuk dalam golongan umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut.
" Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya
lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur
itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam
yang amat busuk baunya," " Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan
harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.
" Wahai
guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa
tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai
tuan guru?" tanya pemuda itu lagi. Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai
pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal
pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh
keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya
mahupun sesudah matinya."
Ingatlah, sesungguhnya daripada
Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita
akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta
amalan sebesar zarah. Wallahua'lam..

No comments:
Post a Comment